Menu

PERLEMBAGAAN UNTUK MAJLIS BERSAMA JABATAN BAGI
JABATAN PERANCANGAN BANDAR DAN DESA
NEGERI TERENGGANU

 

 

 KEAHLIAN

 

1. 

Majlis Bersama Jabatan bagi Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu (selepas ini disebut sebagai “Majlis”) hendaklah mengandungi empat belas (14) ahli termasuk Pengerusi, Naib Pengerusi dan Setiausaha-setiausaha yang terdiri daripada enam (6) ahli yang dilantik oleh Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu (selepas ini disebut sebagai Pihak Pegawai) dan lapan (8) ahli yang dipilih oleh pekerja-pekerja pekerja-pekerja yang berkhidmat di Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu (selepas ini disebut sebagai Pihak Pekerja).

   
 

 PIHAK PEGAWAI

 

2.

Ahli-ahli bagi Pihak Pegawai hendaklah terdiri daripada Pegawai-pegawai Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu seperti berikut:

 

 
a)  PENGERUSI
   Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu
   
b) 

AHLI-AHLI

 

Timbalan Pengarah (Khidmat Pengurusan)
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu

 

Ketua Penolong Pengarah (Rancangan Pembangunan)
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu

 

Penolong Pengarah (Kawalan Perancangan)
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu

 

Penolong Pengarah (Maklumat Gunatanah)
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu

   
c) SETIAUSAHA BERSAMA
 

Penolong Pegawai Perancang Bandar (Perancangan Dasar)
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu

 

Pegawai-Pegawai ini hendaklah dilantik atas nama jawatan masing-masing

 

 

 PIHAK PEKERJA

 

 3. Ahli-ahli bagi Pihak Pekerja hendaklah terdiri daripada pekerja-pekerja di dalam Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu dan dilantik oleh pekerja-pekerja yang berkhidmat di Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu. Peraturan bagi memilih ahli-ahli Pihak Pekerja hendaklah dibuat mengikut permulaannya oleh satu Jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Pekerja-pekerja dalam Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu dan diluluskan oleh Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu.
   
 4. Pemilihan ahli-ahli Pihak Pekerja hendaklah mengikut peraturan-peraturan seperti di bawah:
   
a)   Dua orang wakil daripada setiap Bahagian di Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu. Pemilihan ini hendaklah dibuat oleh pekerja-pekerja di peringkat Bahagian itu sendiri.
b)  Salah seorang daripada wakil tadi hendaklah terdiri daripada golongan pegawai sama ada dalam Kumpulan A atau B (Gred 48 ke bawah) dan seorang lagi daripada kumpulan C atau D
c)   Pemilihan Pengerusi dan Setiausaha bagi Pihak Pekerja akan dibuat di dalam mesyuarat pertama yang akan dipanggil oleh Setiausaha Pihak Pegawai.
   
5.  Kekosongan yang berlaku di dalam keanggotaan Pihak Pekerja hendaklah dipenuhi oleh calon-calon daripada pekerja-pekerja yang melantik wakil yang mengosongkan jawatan itu sendiri.
   
6.  Ahli-ahli bagi Pihak Pekerja hendaklah memegang jawatan selama tempoh dua (2) tahun mulai daripada tarikh perlantikan mereka dan mereka boleh terus memegang jawatan tersebut sehingga ahli-ahli yang akan mengambil alih telah dipilih/dilantik.
   
 

PEGAWAI-PEGAWAI MAJLIS

 

7. Pegawai-pegawai Majlis adalah terdiri daripada Pengerusi, Naib Pengerusi dan Setiausaha Bersama. Naib Pengerusi hendaklah terdiri daripada ahli yang dipilih dan menjadi Pengerusi ahli Pihak Pekerja. Setiausaha Pihak Pegawai dan Setiausaha Pihak Pekerja menjadi Setiausaha Bersama bagi Majlis.
   
 

TUJUAN

 

8. Tujuan Majlis adalah untuk memperolehi seluas-luas kerjasama di antara Pihak Pegawai dengan Pihak Pekerja Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kelicinan kerja dan kebajikan pekerja-pekerja berkenaan, untuk mengadakan jentera bagi menguruskan soal-soal mengenai syarat-syarat bekerja dan amnya untuk mengumpul berbagai buah fikiran daripada pekerja-pekerja dengan wakil-wakil rasmi Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu.
   
 

 BIDANG DAN FUNGSI

 

 9.

Bidang dan fungsi Majlis hendaklah tertumpu hanya kepada perkara-perkara yang termasuk dalam bidang kuasa Majlis seperti berikut :

 

 
a)    Membincang dan memutuskan akan perkara-perkara mengenai syarat-syarat bekerja yang ada kaitan dengan pentadbiran yang berkenaan kecuali semua perkara mengenai pekerja-pekerja perseorangan; 
b)  Membolehkan kakitangan mengambil bahagian dan lebih bertanggungjawab di atas perkara-perkara mengenai kerja-kerja mereka dan mematuhi syarat-syarat bawah mana tugas-tugas mereka dijalankan; 
c)  Menggalakkan kakitangan menerusi pengambilan bahagian dalam perbincangan-perbincangan untuk mendapat pengetahuan yang lebih lagi mengenai pentadbiran pelbagai Jabatan; dan 
d)  Mengadakan kemudahan bagi memperbaiki perjalanan dan organisasi pejabat serta peruntukan bagi menerima cadangan dan syor-syor daripada kakitangan mengenai perkara ini.
 
 

 MESYUARAT-MESYUARAT

 

10.  Mesyuarat-mesyuarat biasa bagi Majlis hendaklah diadakan 3 bulan sekali. 
   
11. Korum bagi mesyuarat Majlis hendaklah tidak kurang daripada empat (4) ahli Pihak Pegawai dan enam (6) ahli Pihak Pekerja.
   
12. Agenda bagi mesyuarat-mesyuarat Majlis hendaklah disediakan oleh Setiausaha Bersama dan dihantar oleh Setiausaha-setiausaha tersebut kepada pihak masing-masing tidak kurang daripada tujuh (7) hari sebelum tarikh mesyuarat. Perkara-perkara yang tidak termasuk di dalam agenda hanya boleh dibincangkan dengan kebenaran Pengerusi dan Naib Pengerusi.
   
13.  Mesyuarat Khas Majlis boleh diadakan dengan permintaan Pengerusi atau Naib Pengerusi bila dikehendaki. Tarikh mesyuarat tersebut hendaklah dipersetujui oleh pegawai-pegawai Majlis. Perkara-perkara yang akan dibincangkan di Mesyuarat tersebut hendaklah terhad kepada perkara-perkara yang dinyatakan dalam notis memanggil mesyuarat tersebut. 
   
 

KEPUTUSAN

 

 14. Segala keputusan-keputusan Majlis hendaklah dicapai secara persetujuan antara kedua-dua belah pihak. 
   
15.  Keputusan yang diambil jika tidak ada hubungan dengan Jabatan-jabatan lain dan tidak pula bertelingkah dengan dasar Kerajaan bolehlah disenggarakan atau dilaksanakan terus oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu. Bagi keputusan yang ada kaitan dengan dasar Kerajaan ataupun jabatan-jabatan lain ia hendaklah dirujukkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam atau jabatan-jabatan yang berkenaan. 
   
 

PINDAAN KEPADA PERLEMBAGAAN

 

16.  Perlembagaan Majlis boleh dipinda di mana-mana satu mesyuarat Majlis. Notis mengenai pindaan hendaklah diberi sebulan sebelum tarikh mesyuarat. Segala pindaan perlembagaan yang telah diluluskan oleh Majlis hendaklah dikemukakan ke Bahagian Saraan, Jabatan Perkhidmatan Awam untuk dipersetujui dan diluluskan. 
   

 

 

Jaringan PLANMalaysia ● PLANMalaysia Ibu Pejabat |  Johor |  Kedah |  Kelantan |  Melaka |  Negeri Sembilan |  Pahang |  Perak |  Perlis |  Pulau Pinang |  Selangor 
Pautan Agensi    MyGovernment Terengganu        HRMIS    Jabatan Perkhidmatan Awam