Menu

1. Apakah Perancangan Bandar?
Perancangan Bandar dikenali sebagai "Perancangan fizikal" atau "perancangan kegunaan tanah". Dengan lain perkataan ianya adalah satu seni dan sains dalam membentuk pertumbuhan dan pembangunan fizikal, sosial dan ekonomi kawasan-kawasan bandar dan juga luar bandar.


2. Siapa yang bertanggungjawab dalam merancang bandar?
Di Semenanjung Malaysia, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri sama-sama bertanggungjawab ke atas perancangan bandar dan desa, di mana Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Semenanjung Malaysia berfungsi memberi nasihat secara menyeluruh ke atas dasar-dasar perancangan negara kepada semua Kementerian, Jabatan Kerajaan dan separa Kerajaan. Manakala Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri berfungsi untuk memberi nasihat kepada Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan di negeri masing-masing di samping mengawal pembangunan.


3. Apakah konsep perancangan?
Satu bidang yang dapat menentukan persekitaran kehidupan dan tempat tinggal yang sempurna, selesa dan berkualiti melalui gabungan alam bina dan alam sekitar secara harmoni. Ianya melalui proses analisis keadaan semasa, kenalpasti isu, masalah dan potensi mengemukakan cadangan bagi dasar tindakan dan perancangan serta kawalan penggunaan tanah.


4. Apakah Peruntukan Undang-undang untuk Aktiviti Perancangan bandar?
Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) adalah peruntukan undang-undang secara langsung yang menjelaskan siapa yang berperanan dan bertanggungjawab, bidang tugas dan aktiviti-aktiviti perancangan bandar.


5. Apa itu Rancangan Pembangunan?
Rancangan Pembangunan terdiri daripada Rancangan Fizikal Negara, Rancangan Struktur Negeri, Rancangan Tempatan Daerah, Rancangan Kawasan Khas. Ianya menjadi dokumen rujukan yang sah untuk rangkakerja perancangan, menggalakkan pembangunan pihak berkuasa negeri (PBN).


6. Apakah Rancangan Fizikal Negara?
RFN adalah rancangan reruang ”spatial” negara yang memberi panduan strategik mengenai arah dan corak pembangunan fizikal negara.


7. Apakah Rancangan Struktur Negeri?
Merupakan satu penyertaan bertulis yang mengemukakan dasar-dasar dan cadangan-cadangan am mengenai pemajuan gunatanah termasuk langkah-langkah mengawal alam sekitar dari segi fizikal, perhubungan dan lalulintas bagi jangkamasa 15 hingga 20 tahun.


8. Apakah Rancangan Tempatan Daerah?
Merupakan suatu pelan terperinci yang menterjemahkan polisi-polisi dan cadangan-cadangan yang terkandung dalam Rancangan Struktur. Ia menunjukkan secara bersekil besar tatatur pembangunan bagi suatu kawasan yang dilengkapi dengan pernyataan bertulis untuk menerangkan dasar-dasar dan butir-butir lanjut mengenai pembangunan tersebut.


9. Laporan Cadangan Pemajuan.
Adalah satu laporan yang dikehendaki disediakan mengikut peruntukan Seksyen 21A,Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 1995, yang perlu dikemukakan bersekali dengan pelan tatatur yang dikemukakan samada untuk permohonan tukar syarat, pecah sempadan atau mendirikan bangunan di mana yang berkaitan. Ianya membentangkan asas-asas perancangan, rasional-rasional dan justifikasi yang dapat mengukuhkan kesesuaian cadangan-cadangan pemajuan. Juga dapat membantu kelicinan proses pertimbangan oleh Pihak Berkuasa Kerajaan terhadap permohonan yang dikemukan.


10. Kebenaran Merancang.
Kebenaran Merancang hendaklah diperolehi daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum sesuatu pemajuan dapat dimulakan mengikut seksyen 19. Permohonan mendapatkan Kebenaran Merancang hendaklah mengikut bentuk dan mengandungi butir-butir, dan disertakan dengan dokumen-dokumen dan pelan-pelan yang ditetapkan oleh PBT sebagaimana diperuntukan mengikut seksyen 21 (1). Seksyen 21 (3) berkehendakkan supaya jika permohonan melibatkan pendirian bangunan, maka PBT boleh mengarahkan pemohon mengemukakan butiran-butiran seperti aras tapak bangunan, ketinggian dan anjak belakang bangunan dan sebagainya.


11. Siapa yang memberi Kebenaran Merancang?
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya/Majlis Perbandaran/Majlis Daerah yang memberi kebenaran merancang secara bertulis keatas permohonan yang dikemukakan oleh pemohon.


12. Apakah Kegunaan Kebenaran Merancang?
Setiap pembangunan yang ingin dijalankan perlu Kebenaran Merancang. Ianya untuk PBT mengawal perancangan dan pembangunan serta menjadi satu bentuk tanggungjawab terhadap PBT yang meluluskan dan menjalankan kerja-kerja pembangunan.


13. Apakah kesan jika pembangunan dijalankan tanpa/tidak memenuhi Kebenaran Merancang?
Ianya merupakan kesalahan mandatori dibawah Akta 172. Sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.00 atau penjara dua(2) tahun atau kedua-duanya sekali.Denda akan dikenakan sehingga RM5000.00 setiap hari kesalahan berterusan.


14. Apakah itu Khidmat Nasihat Perancangan?
Khidmat Nasihat Perancangan adalah perkhidmatan jabatan ini kepada orang awam sebelum mengemukakan permohonan rasmi kepada PBT / PTD. Ianya disediakan melalui perkhidmatan di kaunter melalui pertanyaan. Secara bertulis dan secara ‘online’ di laman web JPBDTRG.


15. Bolehkah pemohon membuat pertanyaan dan semakan perancangan?
Bahagian Kawalan Perancangan bersedia menjawab sebarang pertanyaan melalui telefon, di kaunter dan secara online melalui laman web berhubung dengan masalah permohonan perancangan.


16. Apakah maklumat yang diperlukan untuk melihat gunatanah bagi lot pemohon?
Pemohon perlu mengemukakan ;
No Lot dan No Syit bagi memudahkan mendapatkan maklumat berkenaan gunatanah bagi lot tersebut.


17. Berapa lamakah masa yang diambil oleh jabatan untuk memproses permohonan perancangan?
Mengikut Piagam Pelanggan jabatan masa yang di ambil adalah selama 24 hari bekerja jika maklumat yang disediakan lengkap.


18. Apa dia Lembaga Rayuan?
Lembaga Rayuan adalah satu badan yang ditubuhkan oleh Pihak Berkuasa Negeri bertujuan untuk memberi peluang kepada orang awam yang terkilan atau tidak puas hati dengan keputusan Kebenaran Merancang yang dibuat oleh Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan.


19. Bilakah ia ditubuhkan?
Lembaga Rayuan ditubuhkan pada 1995 di bawah seksyen 36 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).


20. Apakah perkara yang boleh dibuat rayuan?
Sek.23 (1)(a) - permohonan yang ditolak atau syarat-syarat yang dikenakan.
Sek.25 (9) - Pampasan yang ditawarkan hasil daripada penarikan balik kebenaran Merancang atau pengubahan kebenaran Merancang.
Sek.30 (2) - Notis permintaan yang - memberhentikan pengunaan , mengemukakan syarat bagi penggunaan tanah , meminta langkah-langkah tertentu di ambil.
Sek. 30 (7) - terkilan dengan jumlah bayaran pampasan
Sek. 35,35b,35d dan 36 - terkilan dengan apa-apa perintah Bahagian V(a) Perintah Pemeliharaan Pokok Akta A933.


21. Bagaimanakah rayuan boleh dibuat?
Permohonan hendaklah mengisi borang yang disediakan oleh Urusetia dan dihantar ke alamat berikut:-
Pendaftar,
Urusetia Lembaga Rayuan Negeri Terengganu,
Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa,
Tingkat 4 Wisma Negeri,
20646 Kuala Terengganu,
TERENGGANU.


22. Siapakah Pendaftar Lembaga Rayuan?
Penolong Pengarah di Bahagian Perancangan Korporat JPBD Negeri Terengganu adalah sebagai Pendaftar Lembaga Rayuan.


23. Apakah syarat yang perlu dipatuhi untuk membuat rayuan?
Rayuan hendaklah dikemukakan dalam masa satu bulan daripada tarikh keputusan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).


24. Berapakah bayaran yang dikenakan?
Pendaftaran dikenakan sebanyak RM 100 bagi setiap kes.


25. Di manakah perbicaraan dijalankan?
Bergantung dimana kes yang dibawa oleh pihak orang awam untuk membuat rayuan.


26. Adakah keputusan Lembaga Rayuan boleh diatasi oleh lain-lain mahkamah?
Keputusan Lembaga Rayuan adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah.

Jaringan PLANMalaysia ● PLANMalaysia Ibu Pejabat |  Johor |  Kedah |  Kelantan |  Melaka |  Negeri Sembilan |  Pahang |  Perak |  Perlis |  Pulau Pinang |  Selangor 
Pautan Agensi    MyGovernment Terengganu        HRMIS    Jabatan Perkhidmatan Awam